Friday, August 21, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan Al-Mubarak

Alhamdulillah mari kita sama-sama panjatkan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana kita masih diberikan kesempatan lagi berjumpa dengan bulan yang penuh dengan keberkatan ini, Allah masih panjangkan umur kita berjumpa dengan bulan yang mulia ini, jadi marilah kita sama-sama mengimarahkan bulan mulia ini dengan sebaik2 yang mungkin.Semoga kita sentiasa mendapat rahmat daripada Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
"KULLU AM WAANTUM BIKHAIR"

Monday, August 17, 2009

H1N1 mengajak kita kembali kepada Pencipta

Bilangan kes H1N1 yang kian meningkat semakin membimbangkan. Pelbagai tangapan dibuat terhadap usaha kerajaan untuk membendung gejala ini.

Terdapat pihak yang menganggap tindakan menutup institusi pengajian tinggi dan kem PLKN misalnya sebagai menyumbang kepada penularan wabak ini. Di pihak yang lain, sikap sambil lewa pesakit dan keluarga terhadap perintah kuarantin juga amat dikesali.

Oleh itu, tindakan mutakhir Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan Seksyen 12(1) Akta Kawalan Penyakit berjangkit amat dialu-alukan. Walaupun dari satu segi ia dianggap agak terlambat, namun ia tetap penting seperti kata ungkapan 'better late than never'.

Sebagai agama yang lengkap dan sempurna, Islam telah menetapkan beberapa garis panduan yang amat relevan dalam menangani wabak sebegini.

Pertama, Islam mengutamakan kebersihan sehingga meletakkan kebersihan sebagai separuh dari iman. Islam adalah satu-satunya agama yang menggalakkan umatnya menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal, menjadikan penjagaan kebersihan dan kesihatan sebagai tuntutan agama (religious obligation) yang diberi ganjaran pahala.

Secara khusus mengenai penularan wabak berbentuk selsema babi, jika umat Islam berpegang teguh dengan sunah Nabi s.a.w., ia mampu membantu mengurangkannya.

Misalnya Nabi s.a.w. menyarankan agar umatnya sentiasa berada dalam keadaan suci dan berwuduk, satu ritual yang melibatkan antara lain membasuh tangan, hidung dan muka. Ini telah dikenalpasti sebagai berpotensi besar mengurangkan risiko penularan penyakit ini.
Perkara kedua yang perlu ditekankan ialah kuarantin. Umat Islam perlu disedarkan bahawa syariat Islam yang mereka dukungi menghendaki supaya mereka berpegang teguh kepada kaedah kuarantin. Nabi melarang kumpulan yang ditimpa penyakit berjangkit keluar dari kawasan wabak tersebut dan juga melarang orang yang sihat memasuki kawasan yang dilanda wabak.

Memang kuarantin amat menyukarkan kehidupan pesakit dan keluarga tetapi Islam juga mengajar, kepentingan umum didahulukan mengatasi kepentingan peribadi. Tindakan kuarantin diri dan pengasingan diri (self-distancing) oleh semua individu yang mempunyai simptom berkenaan adalah penting.

Di sebalik kemelut penularan H1N1, terdapat pelbagai pengajaran bagi kita. Penyakit, kematian dan kehilangan orang tersayang adalah ujian daripada Tuhan. Allah menjanjikan kepada kita bahawa Dia akan menguji manusia dengan pelbagai perkara termasuk dengan kesakitan dan kehilangan jiwa.

H1N1 menguji keyakinan manusia kepada Allah, bahawa semua kita berasal daripada Allah dan kepadanya kita akan dikembalikan. Anak, isteri, suami dan kaum keluarga adalah pinjaman dan amanah sementara semata-mata.

Wabak ini sepatutnya membawa manusia lebih dekat dengan Pencipta-Nya, Tuhan yang menciptakan manusia, juga mencipta penyakit dan penawar. Tiba masanya manusia kembali tunduk dan patuh kepada suruhan Ilahi, meningkatkan doa munajat, menaruh harapan kepada-Nya dan mengamalkan serta mendaulatkan syariat-Nya.
Dipetik daripada Portal Berita Malaysia Harmoni

Wednesday, August 12, 2009

Selawat Untuk Menghindari Wabak Penyakit Berjangkit

Imam Syihaabuddin al-Qasthalaani rahimahUllah menyatakan bahawa sebahagian ulama menamakan bulan Sya'baan adalah "Syahrush Solati 'alan Nabiy" iaitu bulan selawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana ayat 56 surah al-Ahzaab yang memerintahkan kita berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Oleh itu marilah kita memperbanyakkan lagi selawat ke atas Junjungan Nabi SAW dalam bulan yang berkat ini. Sungguh amalan berselawat mempunyai berbagai kelebihan dan keberkatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Antara fadhilat selawat untuk kesejahteraan hidup kita di dunia ialah ianya boleh menjadi sebab bagi tertolaknya atau terhindarnya penularan wabak penyakit berjangkit sebagaimana pernyataan sebahagian ulama dan solihin seperti Syaikh Ibnu Abi Hajlah dan Syaikh Ibnu Khathib.

Maka tidak hairan jika beberapa ulama telah mengarang shighah selawat yang mengandungi permohonan kepada Allah dengan berkat Junjungan SAW dan berkat selawat agar diberikan kesembuhan daripada penyakit dan dihindarkan segala wabak. Maka terhasillah shighah Sholawat Syifa` dan sebagainya. Selain daripada Sholawat Syifa` yang telah masyhur itu, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit) dengan berselawat dengan untaian selawat seperti berikut:-

Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Selawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak.

Mudah-mudahan dengan berkat Junjungan Nabi SAW, Allah SWT selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.Insyaallah.

Dipetik dari : http://www.bahrusshofa.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...