

Berkenaan dengan isu menyentuh,memegang,merawat,memeluk babi dan anjing yang diketegorikan sebagai najis Mughollazoh iaitu najis berat dalam feqah, ianya bukanlah haram seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah masyarakat Melayu di Malaysia ini. Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana saya sebagai seorang muslim boleh menyentuh babi dan anjing yang haram disentuh?? Berdasarkan apa yang saya pelajari sehingga ke Universiti Al-Azhar,Mesir menyentuh najis Mughollazoh tidak haram. Apa yang dinyatakan oleh hukum feqah ialah apabila kita menyentuh najis Mughollazoh kita dikehendaki menyucikannya dengan bersamak iaitu membasuh dengan air yang telah dicampurkan tanah sekali dan membilasnya dengan air mutlak sebanyak 6 kali. Yang Haram berkaitan babi dan anjing ialah memakannya bukan menyentuhnya.
Sebagai seorang Melayu yang beragama Islam saya maklum pandangan masyarakat melayu yang merasakan geli atau jijik terhadap babi dan anjing. Mungkin ini adalah disebabkan nilai yang diwarisi daripada ibubapa yang mungkin berasal daripada usaha untuk mengelak daripada tersentuh babi dan anjing yang mana proses menyucikannya dilihat sebagai agak leceh dan jika tidak dilakukan akan menjejaskan ibadah, Namun kita perlu jelas pandangan Islam terhadap 2 makhluk ciptaan Allah ini.

Anjing dan babi juga merupakan makhluk ciptaan Allah yang mana termasuk dalam tanggungjawab manusia sebagai khalifah di mukabumi untuk menguruskannya. Sebagai makhluk ia juga seperti manusia memerlukan makanan apabila ia lapar, minuman apabila haus dan ia perlukan rawatan apabila ia sakit, walaupun mungkin dari sudut keutamaannya berbeza dengan manusia. Justeru saya melihat apa yang dipelajari oleh vet berkenaan dengan anjing dan babi serta kewajipan merawatnya termasuk dalam perkara fardhu kifayah dan ia memenuhi sebahagian tanggungjawab manusia sebagai khalifah.
Akhirnya, sebagai seorang muslim, marilah kita bersama mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan salah faham masyarakat khasnya masyarakat melayu berkaitan dengan isu ini. Perkara ini banyak dipertikaikan oleh masyarakat yang bukan Islam terutamanya mereka yang kuat memegang nilai kebajikan haiwan.
Senario ini harus kita ubah kerana sebagai seorang Islam kita perlu menjaga 3 hubungan iaitu hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk yang lain. Sesungguhnya Islam itu syumul, segalanya sudah pun digariskan panduannya, terpulang kepada kita untuk mencari, memahami dan mengamalkannya. Wallahua’lam