Wednesday, December 10, 2008

Tragedi Tanah Runtuh: Adakah bala' dari Allah S.W.T???


Sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan tragedi yang menyayatkan hati dengan bilangan yang terbunuh setakat ini seramai 4 orang dan berpuluh-puluh yang lain cedera. Manakala beribu orang pula diarahkan berpindah kerana dikhuatiri tanah runtuh akan berlaku lagi memandangkan keadaan hujan. Kejadian ini adalah ulangan kepada tragedi Highland Tower yang berlaku 15 tahun dahulu. Pernahkah kita terfikir mengapa tragedi yang sama berulang-ulang berlaku setiap tahun?Adakah ianya berlaku akibat daripada Bala' Allah S.W.T atau bencana alam?

Apa yang menyedihkan ialah setiap kali perkara atau musibah yang berlaku, kita mesti menyalahkan atau dengan kata lain tuduh menuduh antara satu sama lain dan menyatakan ianya adalah bencana alam. Bencana alam adalah kesan buruk daripada kejadian atau gabungan aktiviti semula jadi dan aktiviti manusia. Sebenarnya ianya bukan satu bencana alam tetapi apa yang berlaku adalah bala' daripada Allah S.W.T.


Namun, ada kalanya bencana alam itu terjadi akibat tangan manusia. Banjir, tanah runtuh dan kesan rumah kaca sering terjadi kerana manusia merosak hutan dan memotong pokok kayu tanpa perhitungan. Mendirikan pelbagai bangunan tanpa menimbangkan keadaan alam sekitar juga sering menjadi punca pelbagai bencana alam. Perbuatan manusia yang membuang sampah dan kilang yang turut membuang sisa toksik mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai dan banjir di sesuatu kawasan.Sepertimana Firman Allah S.W.T :

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Surah Ar-Rum: 41)

Ada pula bencana alam sebagai peringatan terhadap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Hal ini seperti yang berlaku terhadap umat Nabi Yunus. Nabi Allah itu mengajak ummatnya menganut agama tauhid dan menegah mereka daripada berbuat syirik dan kebinasaan. Tetapi, kaumnya enggan dan menolak dakwah itu. Maka, serta merta datanglah gempa bumi yang dahsyat membinasakan harta benda, tanaman dan ternakan. Gempa besar itu menyedarkan mereka daripada kekhilafannya. Akhirnya umat Nabi Yunus kembali ke ajaran agama tauhid yang sebenar.Sepertimana Firman Allah S.W.T:

“Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka (mendustakan ayat-ayat Kami), maka Kami akan seksa mereka sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96).


Kesimpulannya, apa sahaja yang berlaku, fikirlah dengan mata hati supaya kita beroleh petunjuk dan hidayah bagi memantapkan lagi iman dan mengembalikan segala urusan kepada Allah s.w.t.
Wallahu’alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...